"..Hati yang nantinya di sana menjadi bahan bukti bahawa hanya Allah, DIA yang paling kita kasihi"
MARI MENYINTAI-NYA
Seorang anak terburu-buru datang ke hadapan ayahnya, menghulur tangan untuk meminta wang saku.
“Cepatlah ayah, dah lambat ni,” kata si anak dengan nada mendesak.
Si ayah menyeluk poket seluar lalu memberi tanpa banyak tanya. Pantas tangan si anak mencapai wangnya. Tiada ucapan terima kasih apatah lagi memberi salam sebelum berlalu pergi.
Esoknya, si anak berjalan-jalan pula bersama ibunya ke sebuah pasaraya.
“ Ibu, baju di kedai itu cocok dengan warna kulit saya. Saya nak ibu belikan, “ desak si anak dengan wajah mengharap. Ibu yang baik hati tidak sanggup menghampakan. Si anak menerima dengan senyum bangga. Apa sahaja yang diminta, pasti dipenuhi oleh ibu dan ayahnya.
Lusa, sekali lagi si anak meminta.
“ Ayah, untuk ulangtahun kelahiran saya nanti, saya nak ayah belikan basikal ini sebagai hadiah,” ujar si anak sambil tersenyum-senyum menunjukkan gambar basikal idamannya.
“ Saya sudah berjanji mahu berbasikal bersama kawan-kawan ke sekolah,” si anak menambah tanpa sempat si ayah berkata sepatah.
DI KETIKA YANG SAMA
Di sana sini ada tangan-tangan yang menadah meminta kepada Pencipta Yang Maha Agung.
“ Ya Allah , kurniakanlah aku kejayaan dalam peperiksaan yang bakal menjelang. Peperiksaan yang bakal menentukan hala tuju hidupku di masa depan. Agar kelak aku dapat berbakti untuk agama, bangsa dan tanah airku ini.”
“ Wahai Tuhan Yang Maha mendengar, berikan aku kesihatan agar dengannya aku dapat berusaha mencari sesuap nasi. Seterusnya aku dapat memberikan kebahagiaan kepada keluargaku. Jauhkanlah bala bencana dan juga penyakit-penyakit berbahaya….” “ Wahai Zat Yang Maha Kaya, kurniakan aku rezeki yang melimpah ruah agar dengannya aku tidak meminta-minta kepada selain dari Mu. Juga aku dapat berbahagi bahagia dengan orang-orang susah dan memerlukan di sekelilingku.” “ Ya Allah, hatiku kini dipenuhi cinta kepada manusia. Izinkanlah dia sebagai pasangan hidupku, agar kami dapat membina keluarga bahagia berpaksikan mawaddah wa rahmah. Keluarga sakinah yang dapat meneruskan generasi soleh untuk hari akan datang.”
Dan bermacam bentuk lagi permintaan kepada Allah Azza wa Jalla.
Si anak meminta kepada ayah dan ibunya, manakala yang diciptakan memohon pula kepada Pencipta mereka. Ada persamaan pada kedua-duanya.
KITAKAH ITU ?
Bagaimana agaknya perasaan kita sebagai ibu atau bapa sekiranya anak bersikap begitu ? Kerap meminta, tapi jarang berterima kasih sekadar untuk berbudi bahasa. Apakah kita sedih, terkilan, kecewa, marah atau..Cuba kita merenung ke dalam diri sendiri. Sikap tersebut sebenarnya pernah ada, sedang dan akan terus mendarah daging bersatu dengan nyawa kita. Selamanya, sehingga kita dibawa pergi mengadap Yang Maha Esa.
Itulah sikap kita terhadap Pencipta. Umpama si anak yang hanya tahu meminta tapi sangat culas membalas dengan rasa kepadaNya. Tiada rasa kasih berinti cinta. Bayangkan kepedihan di hati apabila si anak meminta namun riak di wajahnya tidak pernah menunjukkan rasa cinta dan kasih di hatinya kepada yang ‘memberi’ iaitu ibu bapanya. Alangkah sakitnya bila cinta yang dihulur tidak bersambut. Hanya bertepuk sebelah tangan, tiada balasan.
Pedih atau tidak andai si anak yang meminta sesuatu kepada si ayah bukan kerana cinta kasihnya kepada ayah dan ibu, tetapi kerana kerakusan nafsu kehendaknya semata ?
Itulah permintaan dan permohonan yang kering tanpa cinta dan kasih mesra. Yang diminta tidak lagi dilihat sebagai tempat bergantung dan menabur kasih, tetapi berubah sedikit demi sedikit seumpama ‘kuli’, dan akhirnya keadaan yang berlaku umpama ibu bapa menjadi hamba kepada anak. Itulah antara tanda hampirnya kiamat. Nantikan saja kehancuran dan kebinasaan dunia.
CINTA DIPINTA, MENYINTAI DILUPA
Kita mahu dicintai tapi kita sendiri tidak menyintai, adilkah begitu?
Dulu kita meminta berjaya dengan cemerlang. Lalu Allah memberi kita kejayaan gemilang. Tapi kita membalas dengan bermalas-malas mengerjakan sembahyang. Lebih buruk lagi, ada setengah orang sembahyang pun sudah mula ‘curi-curi tulang’. Solat yang wajib pun jarang-jarang, solat sunat apa nak dikenang. Sungguh, Allah kita tidak sayang!
Suatu ketika, kita meminta diberi rezeki. Siang dan malam kita merintih. Lalu Allah memberi, tapi kita lupa membalas budi. Rezeki yang melimpah ruah, semakin menjauhkan kita dari bersifat pemurah. Banyak berkira walau untuk sedekah. Inikan pula untuk beramal jariah. Sungguh, suruhan Allah kita tidak endah!
Pernah dulu kita meminta dikurniakan pasangan bahagia. Lalu Allah memberi, tapi sekali lagi kita lupa diri. Kita kata hendak bina ‘Rumahku syurgaku’, tapi yang berlaku jauh dari yang Allah mahu. Isteri dan anak-anak tidak ikut syariat, suami yang juga ayah hanya memandang tanpa rasa bersalah. Keseronokan dunia jadi keutamaan. Urusan akhirat, buat yang mana sempat. Esok lusa boleh bertaubat. Baik suami mahu pun isteri, masing-masing tidak bersunguh-sungguh mengerjakan perintah Ilahi. Sungguh Allah kita tidak kasihi!
BILA WAHYU BERBICARA
Ada suara-suara yang bertanya, salahkah kita meminta-minta. Bukankah Allah itu Maha Kaya, kerana Allah sendiri telah berfirman yang maksudnya :
“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku..”
Nanti dulu. Jangan terburu-buru. Jangan biarkan nafsu berterusan menipu. Cuba baca sehingga akhir ayat. FirmanNya lagi yang bermaksud :
“…maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” ( Surah al Baqarah ayat 186 )
Berdoa bukan saja suatu ibadat. Malahan ia merupakan suatu alamat ( bukti dan tanda ) pengakuan kita kepada Allah, Tuhan yang berhak disembah. Memohon dan meminta-minta kepada Allah sebagai pengiktirafan bahawa hanya DIA yang Maha Berkuasa memenuhi segala hajat manusia. Ayat ini sering kita ulangi setiap rakaat solat fardhu mahu pun sunat, iaitu firman Allah SWT yang bermaksud :
“Engkaulah sahaja (Ya Allah) yang kami sembah dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.” ( Surah al Fatihah ayat 5 )
Namun, kita adalah manusia yang selalu lalai dan leka. Lain yang diperintah, lain pula yang kita laksana. Semuanya gara-gara salah dengar dan silap memahami. Mendengar tidak sepenuh hati. Memahami hanya yang serasi dengan naluri. Arahan yang tidak kena dengan jiwa ( baca : NAFSU ) kita abaikan saja. Belum dapat kita berjanji macam-macam, bila apa yang diminta sudah berada dalam genggaman, janji lain pula yang kita sulam.
Benarlah bila mana Allah SWT berfirman :
“ Dan sedikit sahaja hambaku yang bersyukur “ ( Surah Saba' ayat 13 )
TANGGUNGJAWAB TERASA BAK BEBAN
“ Ha..cepat apa lagi yang nak dibeli ni? abang ada banyak kerja lagi selepas ni,” kata seorang suami yang sedang membeli belah bersama anak dan isteri.
Si isteri yang sedang memilih barang, terhenti keinginan untuk membeli. Keluar bersama yang dirasakannya mampu menyemarak hubungan kasih dan mesra sesama keluarga, rupa-rupanya hanya sekadar memenuhi kewajipan tapi kosong dari rasa cinta. Segalanya kerana terpaksa demi memenuhi kewajipan berkeluarga.
“ Tak apalah, bang. Cukup dah rasanya ni,” jawab si isteri serba salah. Anak-anak pula hanya memandang dengan perasaan gelisah.
“ Mengapa ayah selalu terburu-buru. Tidak bahagiakah keluar bersama kami ?” demikian detik hati anak-anak.
Mungkinkah begitu juga hubungan kita dengan Allah yang Menciptakan. Tanggungjawab yang diperintahkan seperti solat, puasa, membayar zakat dan lain-lain hanya demi menunaikan kewajipan semata-mata, bukan kerana cinta kepadaNya. Bila selesai kewajipan dilaksana, terasa ringan bagai melepas beban di atas kepala. Tanggungjawab itu suatu bebanan, perlu segera dilepaskan. Begitukah kita ?
“ Dah wajib, nak buat macam mana, “ kata seorang wanita kepada rakannya tatkala membicarakan kewajipan menutup aurat. Kata-kata yang menunjukkan tidak redha terhadap kewajipan yang diperintahkan. Buat, tapi tidak rela. Taat, tapi kerana terpaksa.
CARA MENYINTAI-NYA
Kita masih belum terlambat. Selagi nafas masih ada, ruang kembali bercinta kepadaNya terbuka luas. Bagaimana caranya ?
1)Hayati sifat-sifat Allah Yang Maha Sempurna – pepatah mengatakan, ‘tak kenal maka tak cinta’. Manfaatkan segenap pancaindera yang ada untuk mengenal Pencipta. Dari mata turun ke hati, dari telinga terbit rasa suka, lalu dengan lidah, alunan zikir sentiasa berkumandang menyatakan rasa cinta kepada Allah SWT. Seterusnya, tubuh ikut ruku’ dan sujud menyembah yang Esa, penyembahan yang sebenar ikhlas kerana kasih setia kepadaNya. Sabda Baginda Rasulullah SAW yang bermaksud :
“Daripada Abu Hurairah radiallahu anhu berkata : Berkatanya rasulullah sallallahu alaihi wassalam : Sesungguhnya allah Taala telah berkata : Barangsiapa yang memusuhi wali ku (6) maka Aku akan isytiharkan perang baginya,dan perkara yang dapat mendekatkan diri seorang hamba kepadaKu ialah pada apa yang Aku sukai terhadap kewajipan-kewajipan yang telah Aku wajibkan ke atas mereka,dan seorang hamba itu tidak akan dapat mendekatiKu dengan melakukan perkara-perkara sunat sehinggalah Aku mencintainya,jika Aku sudah mencintai dirinya,maka Akulah pendengarannya pada apa yang didengarinya,dan Akulah penglihatannya pada apa yang dilihatnya,dan Akulah tangannya pada apa yang dilakukannya,dan Akulah kakinya pada setiap yang dilaluinya,dan jika dia meminta kepadaKu maka pasti Aku akan memberinya,dan jika dia minta dilindungi,maka Aku pasti akan melindunginya” ( Riwayat Imam Bukhari bernombor 6502 dan Imam Baihaqi bernombor 219/10 pada sunan beliau ).
Seterusnya apabila datang sebarang musibah dan dugaan hidup, semua itu dapat dihadapi dengan sabar dan berbaik sangka kepada Nya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
"Tiada seorang mukmin ditimpa kesakitan, kepayahan, penyakit, kesedihan hatta duri yang menusuk, kecuali dengan itu menghapuskan dosa-dosanya." (Riwayat Al Bukhari )
2)Merasakan kecintaan kepada Rasulullah SAW sebagai melaksanakan perintah Allah, bahkan cinta kepada Baginda dikehadapankan berbanding kecintaan kepada diri dan keluarga sendiri. Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu.’ Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” ( Surah Ali-Imran ayat 31).
Cinta yang dirasakan terhadap Baginda Rasul Junjungan meresap ke dalam hati lalu diterjemahkan kepada sifat-sifat mahmudah dan menjauhi sifat mazmumah. Kesempurnaan Rasulullah dihayati dan diyakini bahawa padanya terkumpul segala kesempurnaan seorang manusia baik bentuk fizikal mahupun akhlak lahiriahnya. Hanya Rasulullah sebaik-baik ikutan untuk menyintai Yang Maha Menciptakan.
3)Cintai diri dan keluarga kerana Allah semata-mata. Sentiasa memaksa diri melakukan yang terbaik untuk akhirat yang kekal abadi kerana di sana Cinta Ilahi yang abadi dan kekal sedang menantinya. Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” ( Surah At Tahrim ayat 6)
MARI MENYINTAI-NYA
Akhirnya, mari kita mulakan langkah untuk membuktikan bahawa DIA kita cinta. DIA kita sayang dan DIA sentiasa kita peduli.
Walau nanti kita terlantar sakit dengan mata yang tidak lagi boleh melihat, telinga yang tidak mampu lagi mendengar, lidah dan bibir yang tidak mampu lagi mengalun zikir atau anggota yang tidak boleh lagi beribadah kepadanya, yakinlah bahawa kita masih ada sekeping hati yang sentiasa segar membisikkan kalimah cinta kepadaNya. Hati yang nantinya di sana menjadi bahan bukti bahawa hanya Allah, DIA yang paling kita kasihi.
Mencari dan mencari cinta Ilahi.
http://ummuhusna99.blogspot.com/2009/05/mari-menyintai-nya.html
No comments:
Post a Comment