.."milik nggendhong lali.."
rasa memiliki membawa kelalaian
-peribahasa Jawa-
Salman Al Farisi merasakan memang sudah waktunya menikah. Seorang wanita Ansar yang dikenalnya sebagai wanita mukminah lagi solehah juga telah mengambil tempat di hatinya. Tentu saja bukan sebagai kekasih. Tetapi sebagai sebuah pilihan dan pilihan yang dirasa tepat. Pilihan menurut akal sihat. Dan pilihan menurut perasaan yang halus, juga ruh yang suci.
Tapi bagaimanapun, ia merasa asing di sini. Madinah bukanlah tempat kelahirannya. Madinah bukanlah tempatnya tumbuh dewasa. Madinah memiliki adat, rasa bahasa, dan rupa-rupa yang belum begitu dikenalnya. Ia berfikir, melamar seorang gadis pribumi tentu menjadi sebuah urusan yang pelik bagi seorang pendatang. Harus ada seorang yang akrab dengan tradisi Madinah berbicara untuknya dalam khitbah. Maka disampaikannyalah gelegak hati itu kepada sahabat Ansar yang dipersaudarakan dengannya, Abu Darda’.
”Subhanallaah.. wal hamdulillaah..”, girang Abu Darda’ mendengarnya. Mereka tersenyum bahagia dan berpelukan. Maka setelah persiapan dirasa cukup, beriringanlah kedua sahabat itu menuju sebuah rumah di penjuru tengah kota Madinah. Rumah dari seorang wanita yang solehah lagi bertaqwa.
”Saya adalah Abu Darda’, dan ini adalah saudara saya Salman seorang Persia. Allah telah memuliakannya dengan Islam dan dia juga telah memuliakan Islam dengan amal dan jihadnya. Dia memiliki kedudukan yang utama di sisi Rasulullah Shallallaahu ’Alaihi wa Sallam, sampai-sampai beliau menyebutnya sebagai ahli bait-nya. Saya datang untuk mewakili saudara saya ini melamar putri anda untuk dipersuntingnya.”, fasih Abu Darda’ bicara dalam logat Bani Najjar yang paling murni.
”Adalah kehormatan bagi kami”, ucap tuan rumah, ”Menerima anda berdua, sahabat Rasulullah yang mulia. Dan adalah kehormatan bagi keluarga ini bermenantukan seorang sahabat Rasulullah yang utama. Akan tetapi hak jawab ini sepenuhnya saya serahkan pada puteri kami.” Tuan rumah memberi isyarat ke arah hijab, yang di belakangnya sang puteri menanti dengan segala debar hati.
”Maafkan kami atas keterusterangan ini”, kata suara lembut itu. Ternyata sang ibu yang bicara mewakili puterinya. ”Tetapi karena anda berdua yang datang, maka dengan mengharap ridha Allah saya menjawab bahwa puteri kami menolak pinangan Salman. Namun jika Abu Darda’ kemudian juga memiliki urusan yang sama, maka puteri kami telah menyiapkan jawapan mengiyakan.”
Jelas sudah. Keterusterangan yang mengejutkan, ironis, sekaligus indah. Sang puteri lebih tertarik kepada pengantar daripada pelamarnya! Itu mengejutkan dan ironis. Tapi saya juga mengatakan indah karena satu alasan; reaksi Salman. Bayangkan sebuah perasaan, di mana cinta dan persaudaraan bergejolak berebut tempat dalam hati. Bayangkan sebentuk malu yang membuncah dan bertemu dengan gelombang kesedaran; bahawa dia memang belum punya hak apapun atas orang yang dicintainya. Mari kita dengar ia bicara.
”Allahu Akbar!”, seru Salman, ”Semua mahar dan nafkah yang kupersiapkan ini akan aku serahkan pada Abu Darda’, dan aku akan menjadi saksi pernikahan kalian!”
♥♥♥
Cinta tak harus memiliki. Dan sejatinya kita memang tak pernah memiliki apapun dalam kehidupan ini. Salman mengajarkan kita untuk meraih kesedaran tinggi itu di tengah perasaan yang berkecamuk rumit; malu, kecewa, sedih, merasa salah memilih pengantar –untuk tidak mengatakan ’merasa dikhianati’-, merasa berada di tempat yang keliru, di negeri yang salah, dan seterusnya. Ini tak mudah. Dan kita yang sering merasa memiliki orang yang kita cintai, mari belajar pada Salman. Tentang sebuah kesedaran yang kadang harus kita munculkan dalam situasi yang tak mudah.
Sergapan rasa memiliki terkadang sangat memabukkan..
Rasa memiliki seringkali membawa kelalaian. Kata orang Jawa, ”Milik nggendhong lali”. Maka menjadi seorang manusia yang hakikatnya hamba adalah belajar untuk menikmati sesuatu yang bukan milik kita, sekaligus mempertahankan kesedaran bahawa kita hanya dipinjami. Inilah sulitnya. Tak seperti seorang tukang parkir yang hanya dititipi, kita diberi bekal oleh Allah untuk mengayakan nilai guna karuniaNya. Maka rasa memiliki kadang menjadi sulit ditepis..
Source: buku baru Salim A. Fillah : Jalan Cinta Para Pejuang/Gairah/Sergapan Rasa Memiliki, by Pro-U Media 2008, Harga Rp. 55.000,-
http://proumedia.blogspot.com/2008/09/new-release-jalan-cinta-para-pejuang.html
Monday, November 16, 2009
cinta Tak seharusnya memiliki
Posted by nik_khoir at 9:19 PM 0 comments
Saturday, April 25, 2009
Yang diharapkan..

"Yang diharapkan dari seorang wanita ialah
seorang ibu yang menggalakkan anaknya untuk syahid..
seorang isteri yang merangsang suaminya berjihad dan melakukan pengorbanan..
seorang mu'minah yang mewakafkan diri dan usahanya untuk jalan Allah..
dan seorang a'lim yang menghafaz al-quran
serta melaksanakan apa yang dipelajari untuk amar ma'ruf.. "
~Yusuf Qardawi~
Posted by nik_khoir at 11:09 PM 0 comments
Monday, March 23, 2009
Kisah Srikandi Islam
ISTERI Rasulullah SAW, Saidatina Khadijah binti Khuwailid ialah wanita pertama beriman kepada Allah dan rasul-Nya. Beliau banyak membantu dan mengukuhkan tekad, Nabi Muhammad dalam melaksanakan risalah dakwah Islamiah.
Beliau sentiasa berusaha meringankan kepedihan hati dan menghilangkan keletihan serta penderitaan suaminya dalam berdakwah.
Inilah keistimewaan dan keutamaan Khadijah dalam sejarah perjuangan Islam. Beliau adalah sumber kekuatan di belakang Rasulullah.
Rasulullah ketika menceritakan keperibadian Khadijah bersabda, maksudnya: “Demi Allah, tidak ada ganti yang lebih baik daripada dia, yang beriman kepadaku saat semua orang ingkar, yang percaya kepadaku ketika semua mendustakan, yang mengorbankan semua hartanya saat semua berusaha mempertahankannya dan... daripadanyalah aku mendapatkan keturunan.”
Siti Khadijah berasal daripada keturunan terhormat serta terkenal sebagai wanita tegas dan cerdas.
Beliau adalah wanita kaya dan terkenal serta mampu hidup mewah dengan hartanya sendiri. Namun semua itu dengan rela dikorbankannya untuk memudahkan tugas suaminya.
Hal ini menunjukkan beliau adalah wanita yang mendorong kemajuan pahlawan umat manusia, melindungi pejuang terbesar dalam sejarah dengan mewujudkan kedamaian dalam kehidupan suaminya. Sikap inilah yang menjadi sumber kekuatan Rasulullah sepanjang kehidupan mereka.
Sepanjang hidupnya bersama Rasulullah, Siti Khadijah setia menyertai Baginda dalam setiap peristiwa suka dan duka. Setiap kali suaminya ke Gua Hira, beliau pasti menyiapkan semua bekalan dan keperluannya. Seandainya Rasulullah agak lama tidak pulang, beliau akan meninjau untuk memastikan keselamatan Baginda.
Sekiranya Baginda khusyuk bermunajat, beliau tinggal di rumah dengan sabar sehingga Rasulullah pulang.
Apabila suaminya mengadu kesusahan serta berada dalam keadaan gelisah, beliau cuba sedaya mungkin mententeram dan menghiburkannya sehingga suaminya benar-benar merasai ketenangan. Setiap ancaman dan penganiayaan dihadapi bersama. Malah dalam banyak kegiatan peribadatan Rasulullah, Siti Khadijah pasti bersama dan membantu Baginda seperti menyediakan air untuk mengambil wuduk.
Kecintaan Siti Khadijah bukanlah sekadar kecintaan kepada suami, sebaliknya jelas berlandaskan keyakinan kuat terhadap keesaan Allah.
Segala pengorbanan untuk suaminya adalah ikhlas untuk mencari keredaan Allah. Allah Maha Adil dalam memberi rahmatNya. Setiap amalan yang dilaksanakan dengan penuh keikhlasan pasti mendapat ganjaran yang berkekalan.
Firman Allah bermaksud: “Barang siapa yang mengerjakan amalan soleh, baik lelaki mahupun wanita dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami berikan balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang sudah mereka kerjakan.” (Surah an-Nahl, ayat 97)
Janji Allah itu pasti benar. Kesan kesetiaan Siti Khadijah bukan sekadar menghasilkan kekuatan yang mendorong kegigihan dan perjuangan Rasulullah, malah membawa barakah besar kepada rumah tangga mereka.
Anak yang lahir juga adalah soleh. Keturunan zuriat ahlulbait Rasulullah adalah insan yang sentiasa taat melaksanakan perintah Allah.
Semua ini menghasilkan kekuatan yang membantu meningkatkan perjuangan Islam.

sumber: http://assolehah.blogdrive.com/
Posted by nik_khoir at 11:23 PM 0 comments
Saturday, February 21, 2009
Tips menyisih cinta tak diundang..

Cinta antarabangsa
Seringkali juga saya dikemukakan persoalan cinta di tengah jalan dakwah. Sudah beberapa generasi adik-adik yang berusrah dengan saya bertanyakan soal hati. Lazimnya mereka ini menjaga batas pergaulan seberapa yang boleh.
Namun, semasa tempoh berurusan itulah, tiba-tiba hati berdetup-detap pada seseorang. Hati itu sensitif pada individu tertentu sahaja dan bukan pada semua orang yang berurusan dengannya. Kalau dengan semua orang atau lebih seorang, hati mahu dup-dap…dup-dap… ini kes tidak normal pula. Harus jumpa doktor kalau begitu. Lelaki tidak mengapalah sebab dia ada kuota sampai empat.
Jika individu yang dilamun ‘jatuh hati’ ini berlatar belakang pendidikan agama dan keluarga juga menitik beratkan amalan agama. Dia ada ‘imunisasi’ jugalah sedikit sebanyak. Dilawannya ‘cinta’ itu dengan istighfar dan zikrullah. Namun… aduh… teringat-ingat juga pada si dia. Susahnya mahu dilawan perasaan halus yang datang.
Tidaklah salah jika kita meminati seseorang kerana agamanya. Ini untuk gadis yang belum kahwin. Dalam masa yang sama kita punya hasrat serius mahu menikahinya. Bagi kes ini; solat hajat, solat istikharah dan bincang dengan ibubapa adalah ikhtiarnya.
Biasanya, perasaan yang benar itu tidaklah pula membuatkan empunya diri angau dan lagha dari Allah. Suka, suka juga namun rasional masih ada.
Cinta itu pula tidaklah boleh ditafsir sesuka hati berdasarkan amalan orang awam. Cinta itu sudah disebut oleh Allah dalam al-Quran dengan segala konsep dan amalannya yang indah dan murni.
Tip yang dilakarkan di bawah ini adalah untuk kes ‘lamunan hati’, ‘jatuh hati’ dan ‘cinta’ buatan iblis. Cinta karya iblis inilah yang dinamakan ‘cinta itu buta’. Buta dari melihat reda dan murka Allah. Buta dari melihat panduan-panduan Islam sebagai pedoman. Sasaran utama virus ‘cinta buta’ ialah remaja yang tidak faham Islam, individu yang membelakangkan Quran dan Sunnah walau dia faham Islam. Justeru timbullah kisah jijik dan sampah antara isteri A dengan suami B, lelaki dan lelaki, cinta dengan ipar dan pelbagai spesis lagi.
Mereka yang sedar sedang dihinggapi virus ‘cinta buta’ ini bolehlah cuba-cuba vaksin berikut:
Tip menyisih cinta yang tidak diundang.
1. Yakin pada Allah Yang Maha Memahami.
Kasihan adikku yang sedar akan gangguan hati yang datang. Ketahuilah adikku… Allah memahami perasaanmu. Allah Yang Maha Mendengar tahu engkau bersungguh-sungguh datang kepadaNya… mengabdikan dirimu padaNya seluruh jiwa raga… namun apakan daya… engkau hanya insan lemah.
2. Tipu daya syaitan sangat lemah sebenarnya.
Allah memberitahu kita bahawa syaitan dan tipudayanya itu lebih lemah selagi engkau berterusan menyeru namaNya. Allah berkata dalam surah al-Nisa’, ayat 76,
اِنَّ كَيْدَ الشَّيْطٰنِ كَانَ ضَعِيْفًا
Sesungguhnya tipu daya Syaitan itu adalah lemah.
Justeru jangan berhenti dari mujahadah. Meskipun engkau sering keletihan melawan perasaan.
3. Menjauhkan diri dari si dia yang menjadi wasilah iblis untuk melalaikan hatimu.
Jauhkan diri dari bertemu si dia selagi boleh. Kalau terpaksa bertemu kerana ada urusan, maka berusahalah meringkas- padatkan perbualan pada perkara-perkara penting sahaja. Usah dituruti nafsu remajamu yang sedang mekar dipermainkan nafsu dan iblis. Niatkan kerana Allah, Allah pasti membantu.
Allah menukilkan ejekan syaitan kepada manusia dalam surah Ibrahim, ayat 22,
Dan berkatalah pula Syaitan setelah selesai perkara itu: Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kamu dengan janji yang benar dan aku telah menjanjikan kamu lalu aku mungkiri janjiku itu kepada kamu dan tiadalah bagiku sebarang alasan dan kuasa mempengaruhi kamu selain daripada aku telah mengajak kamu lalu kamu terburu-buru menurut ajakanku itu; maka janganlah kamu salahkan daku tetapi salahkan diri kamu sendiri. Aku tidak dapat menyelamatkan kamu dan kamu juga tidak dapat menyelamatkan daku. Sesungguhnya dari dahulu lagi aku telah kufur ingkarkan (perintah Tuhan) yang kamu sekutukan daku denganNya. Sesungguhnya orang-orang yang zalim (yang meletakkan sesuatu pada bukan tempatnya) beroleh azab yang tidak terperi sakitnya.
Apa yang kita fikirkan setelah meneliti ayat ini? Syaitan menyatakan bahawa kuasanya hanya dapat mengajak kita sahaja. Dia langsung tiada kuasa memaksa kita melakukan menurut kehendaknya. Kita sendirilah yang berkuasa menentukan apa yang kita mahu.
Jika kita memilih ‘mahu’ menurut kehendak dan reda Allah, maka mohonlah kekuatan kepadaNya.
Sempitkan jalan nafsu dengan berpuasa sunat. Sibukkan diri dengan kerja-kerja kita yang lebih banyak dari waktu yang ada. Insya Allah, apabila kita fokus pada sesuatu perkara, kita akan dapat melupakan perkara lain. Insya Allah.
Allah berkata dalam surah Al Ahzaab, ayat 4,
Allah tidak sekali-kali menjadikan seseorang mempunyai dua hati dalam rongga dadanya.
Maksudnya kita tidak mampu menumpukan dua perkara dalam satu masa. Bila hati sedang khusyuk ingat Allah, mustahil hati boleh pula ingat perkara-perkara lain.
Lidah yang berzikir belum tentu hatinya turut berzikir. Tapi hati yang berzikir akan membuatkan lidahnya turut berzikir. Jadi beri tumpuan pada hati.
4. Maafkan diri sendiri atas perkara yang tidak disengajakan. Sedangkan Allah tidak mengambil kira perbuatan yang tersalah.
وَ لَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ فِيْمَاۤ اَخْطَاْتُمْ بِهٖۙ وَلٰكِنْ مَّا تَعَمَّدَتْ قُلُوْبُكُمْؕ وَكَانَ اللّٰهُ غَفُوْرًا رَّحِيْمًا
Kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Al-Ahzaab, 5
5. Usah jemu bermujahadah.
Ingatlah adikku, setiap mujahadahmu diberi perhatian oleh Allah. Ganjaran pahala sedia menanti. Justeru untuk apa engkau merasa jemu?
Allah berkata dalam surah Al-Naazi’aat, ayat 40 dan 41,
Sesiapa yang takut akan kedudukan Tuhannya dan menahan diri dari menuruti hawa nafsunya. Maka sesungguhnya syurgalah tempatnya.
Iya adikku, kalau kita lakukan sesuatu dan meninggalkan sesuatu kerana takutkan Allah maka Allah menjanjikan syurga buat kita. Menangislah syaitan dan iblis apabila kita terus bersemangat bermujahadah agar mendapat jiwa yang tenang.
6. Bertaubat dari kesalahan yang kita sendiri usahakan dengan sengaja.
Jika terdapat unsur-unsur derhaka kepada Allah sehingga kita ditimpa ‘bala perasaan’ itu seperti tidak menjaga batas pergaulan, maka pahitnya mujahadah itu adalah sebagai kaffarah dosa-dosamu. Teruslah menuju Tuhanmu. Jangan berputus asa. Allah Maha Mendengar rayuan dan keluhanmu.
Tatkala dosamu diampunkan Tuhan, insya Allah, Allah lapangkan dadamu dan melepaskan dirimu dari belenggu perasaan yang menyiksa.
7. Beri tempoh untuk diri sendiri.
Berilah juga masa untuk perasaan itu hilang dari dirimu. Usah dilayan dan juga usah dipaksa pergi.
Perasaan adalah suatu hal yang sungguh halus dan bergantunglah kejap-kejap pada Yang Maha Memahami. Allah pasti membantu.
Ingatlah janji Allah yang dinukilkan dalam Surah Al-Ankabut, ayat 69,
وَالَّذِيْنَ جَاهَدُوْا فِيْنَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا ؕ وَاِنَّ اللّٰهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِيْنَ
Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, pasti Kami akan pimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan) dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.
Sebenarnya masih banyak konsep atau prinsip asas dalam Islam yang boleh membantu kita bermujahadah. Memadailah saya menggariskan perkara-perkara yang paling penting sebagai panduan beramal.

Beginikah cinta?
Buat gadisku, simpanlah ‘mawaddah dan rahmah’ itu hanya untuk suamimu yang sah. Indahnya ‘mawaddah dan rahmah’ itu sudah pun kunikmati bersama suami yang Allah ciptakan dan janjikan untukku. Kusimpan ia sejak usiaku mengenal baligh. Indahnya ajaran Islam. Usah diraikan Valentine Day. Ia bukan budaya Islam. Tahniah buat anda yang punya pengalaman seperti saya. Segala puji hanya untukMu Tuhan yang memilih kami meniti jalanMu.
Hanya Allah Yang Maha Mengetahui.
Ummu Abbas
12.52am
21 Safar 1430H/ 17 Februari 2009M
sumber: http://keranacinta.wordpress.com/
Posted by nik_khoir at 6:07 PM 0 comments
Sunday, January 25, 2009
Ingatan buat semua
Resah. Gelisah. Seraut wajah termenung jauh. "Orang lain semua dah kahwin, tinggal aku sorang sahaja". Sekeping hati bermonolog. Monolog itu di susuli tujahan prasangka.
"Aku tak cantik ke?"
"Aku kurang bergaya ke?"
"Ataupun pasal gaji aku tak seberapa?"
"Aku tak pandai meng'ayat' agaknya"
Mungkin itulah kerisauan yang memberat di minda muda mudi yang belum berpunya. Rasa rendah diri, stress dan gejolak rasa ingin memiliki membuatkan mereka merasa berusaha memenangi hati dan memiliki seseorang tanpa mengenal batas halal dan haram. Yang penting, DAPAT.
Pilu hati ini melihat remaja yang merana kerana CINTA. Pilu kerana walaupun mereka sudah merasa PERIT nya penangan CINTA DUSTA, mereka masih tak mampu mengarah diri mencari CINTA HAKIKI. Tak serik-serik lagi. Diri diperhamba menagih cinta sementara hingga sanggup berkonflik dengan Pencipta CINTA. Semua batasan-Nya diredah segala. Tak kenal DOSA pahala.
Oh REMAJA !
Cinta sebelum kahwin itu hanya menjerumus ke lembah DOSA dan ZINA. Jika mampu bertahan ke jinjang pelamin sekalipun, percayalah rumah tangga itu tak kan berkat. Apa tidaknya, asasnya dibina daripada dosa dan maksiat. Mana mungkin dapat menegakkan tiang takwa yang utuh kecuali dinaik taraf dengan taubat. Rumah tangga akan menjadi tawar dan hambar. Semuanya dah dirasa dan terbiasa, nak rasa nikmatnya apa lagi? Anak-anak menjadi mangsa. Terimalah ia sebagai hukuman didunia. Amat pedih. Namun, terlalu sedikit berbanding pedihnya hukuman abadi di negeri 'sana'.
Ku hembus nasihat ini kepadamu hai remaja tanda sayangku tak terhingga. Bagi para GADIS YANG BELUM BERPUNYA, andalah pilihan-pilihan Allah untuk masih mekar terpelihara sehingga tiba pula giliran anda mendapat seruan, yakinlah.
Jangan risau jika masih belum berpunya kerana mungkin Allah ingin bagi ketenangan dahulu buat anda terus melangkah menggapai cita-cita. Usah peningkan kepala. DIA menguji anda sedikit masa lagi.
Begitu juga buat PEMUDA YANG BELUM BERPUNYA, 'first thing first'. Utamakan yang lebih penting daripada yang penting. Kenali priority anda sekarang. Jika memang dah sampai saat nak memiliki, tabahlah dan terus berusaha. Ingat, pastikan waktu nak berusaha itu anda memang dah betul-betul mampu dan sedia.
Memiliki seorang isteri solehah ibarat memiliki dunia dan seisinya. Sudah tentu jalan untuk mendapatkannya sesuatu yang istimewa amat berliku dan banyak cabaran. Jangan putus asa. Rasa mulialah dengan usaha yang dicurahkan walaupun pinangan pernah ditolak. Usah rasa malu dan terhina kerana Allah menilai setiap usaha selagi berjalan di landasan-Nya. Teruskan berusaha!
Ingat, usaha yang Allah redha sahaja. Bagaimana dengan SMS siang malam? Atau bergayut di telefon memanjang? Atau ajak keluar, belanja makan? Begitukah?
Berusaha menyediakan diri dan pikatlah ibu bapanya terlebih dahulu, itu tip memikat wanita beriman. Sebaik-baiknya gunakan orang perantaraan untuk lebih menjaga warak dan iman.
Seringkali, seseorang mencuri kekasih ibarat dia mendaki gunung yang tinggi. Pepohon berduri sanggup diredah, curam dan jurang sabar ditembuh. Namun, apabila dia memilikinya mendapati insan yang dikejar itu dedaun kering cuma.
Begitulah perumpamaan sia-sianya usaha yang tidak disalur dengan suluhan petunjuk Al-Quran dan Sunnah.
Beringatlah, urusan jodoh tak ke mana. Sudah sedia tercatat seungkai nama di Loh Mahfuz untuk kita. Ianya urusan yang pasti. Apa yang tak pasti, sama ada kita mendapatkannya cara mulia atau sebaliknya. Wallahua'lam.
sumber: http://ustaznazmi.blogspot.com/
p/s: a nice article from ukht fatimah syarha.. Subhanallah..
Posted by nik_khoir at 3:38 PM 0 comments
Friday, January 2, 2009
Cinta Agung
aku tahu Engkau Tuhanku
adalah cinta agung
akupun mahu mencintaiMu
aku tahu mencintaiMu amat perlu
Ia kemuncak daripada
segala kebahagiaan
aku berusaha ke arah itu
tapi cintaku padaMu Tuhan selalu terganggu
banyak yang datang mengganggu
nafsuku dan syaitan terkutuk
dunia mempesona menggamit selalu
diwaktu itu lupaku padaMu
cintaku jauh sekali
sekali sekala datang juga
walau sedikit terasa indahnya
kemudian lupa lagi
adakalanya lupa ku padaMu
berpanjangan sekali
kemudian sekali sekala sedar kembali
Engkau cinta agung
Engkau patut dicintai
selepas itu lupa lagi
begitu cintaku kpdMu Tuhan
dengan kelalaian silih berganti Oh Tuhan
dengan hati yang sedih ini
tolonglah aku dengan rahmatMu
bantulah aku mencintaiMu
agar cinta yang palsu terbunuh sendiri
itulah harapanku padaMu
Posted by nik_khoir at 10:01 PM 0 comments
Thursday, December 25, 2008
Menutup aurat bukan sekadar pakai tudung
Jendela Hikmah: Menutup aurat bukan sekadar pakai tudung
SATU ketika dulu, ramai mengatakan memakai tudung itu hanyalah sunat muakad atau tidak wajib. Kalau tidak memakai tudung, hanya berdosa kecil. Kononnya sebaik saja mengambil wuduk untuk bersolat lima waktu, secara automatik dosa kita dibasuh dan terhapus.
Apabila bergaul dengan pelbagai bangsa dan agama, kita banyak mendengar dan membaca bagaimana media barat memomokkan kod pakaian wanita Islam yang dikaitkan dengan maruah dan harga diri.
Di satu sudut lain, ada wanita Islam yang bertudung dan menyangkakan mereka sudah menutup aurat, tetapi masih mengenakan seluar jeans yang ketat, kemeja T menampakkan pakaian dalam atau yang hanya layak dipakai oleh adiknya berumur 10 tahun.
Ada juga yang mengenakan tudung, tetapi memakai kain terbelah sehingga menampakkan peha, pakaian terbelah di dada, kemeja T berlengan pendek dan ada kalanya memakai skirt separas betis. Persoalannya apakah ciri pakaian menutup aurat bagi wanita Islam?
Aurat berasal daripada bahasa Arab, ‘Aurah’ yang bererti kurang. Di dalam fiqh, aurat diertikan sebagai bahagian tubuh seseorang yang wajib ditutupi daripada pandangan orang lain. (Wahbah al-Zuhayli (1989), al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, Damsyik: Dar al-Fikr, halaman 579)
Walaupun ulama berkompromi mengenai had aurat yang perlu ditutup oleh wanita, namun mereka bersepakat mengatakan hukum menutup aurat bagi setiap wanita Muslim yang baligh adalah wajib. Untuk memenuhi syarat menutup aurat, pakaian seseorang wanita mestilah memenuhi syarat berikut:
1)Menutupi had aurat yang sudah ditetapkan.
Jumhur ulama bersepakat mengatakan aurat bagi wanita baligh ialah seluruh tubuhnya kecuali muka dan tapak tangan. Oleh itu, mereka wajib menutup aurat daripada dilihat oleh lelaki ajnabi (bukan mahram).
Allah berfirman yang bermaksud: “Dan hendaklah mereka (wanita) menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka.” (Surah al-Nur, ayat 31)
Firman Allah lagi yang bermaksud: “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (ketika mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Ahzab, ayat 59).
Ayat itu Allah memerintahkan supaya Nabi Muhammad SAW menyuruh isteri Baginda mengenakan pakaian yang menutup aurat. Suruhan itu juga ditujukan kepada semua wanita beriman.
2)Pakaian yang longgar.
Tujuan utama wanita diwajibkan menutup aurat ialah untuk mengelakkan daripada lelaki ajnabi melihat tubuh badannya dan mengelakkan daripada berlakunya fitnah. Oleh itu, pakaian yang ketat walaupun tebal sudah pasti akan menampakkan bentuk tubuh badan. Wanita yang memakai pakaian ketat walaupun menutupi seluruh tubuh masih belum memenuhi tuntutan menutup aurat seperti dikehendaki syarak.
Syarat ini berdasarkan kepada kata Dahiyyah bin Khalifah al-Kalbi yang bermaksud: “Rasulullah SAW didatangi dengan beberapa helai kain ‘qubtiyyah’ (sejenis kain yang nipis buatan Mesir), lalu Baginda berkata: “Bahagikan kain ini kepada dua, satu daripadanya dibuat baju dan bakinya berikan kepada isterimu.” Apabila aku berpaling untuk beredar Baginda berkata: “Dan suruhlah isterimu meletakkan kain lain di bawahnya (supaya tidak nampak bentuk tubuhnya).”
Menurut Ibn Rusyd, ‘qubtiyyah’ ialah pakaian yang tebal tetapi melekat pada badan kerana ianya ketat dan menampakkan bentuk tubuh pemakainya. Oleh itu, Rasulullah SAW menyuruh Dahiyyah menyuruh isterinya melapik pakaian itu dengan kain lain supaya tidak menampakkan bentuk tubuhnya.
3)Pakaian yang tidak jarang.
Syarak menetapkan pakaian wanita mestilah tidak jarang sehingga menampakkan bentuk tubuh atau warna kulitnya. Aisyah meriwayatkan bahawa saudaranya, Asma, pernah masuk ke rumah Rasulullah SAW dengan berpakaian tipis sehingga nampak kulitnya. Rasulullah SAW berpaling dan mengatakan: “Hai Asma, sesungguhnya seorang perempuan bila sudah datang waktu haid, tidak patut diperlihatkan tubuhnya itu, melainkan ini dan ini sambil ia menunjuk muka dan kedua telapak tangannya.”
Teguran Rasulullah SAW terhadap Asma jelas menunjukkan bahawa pakaian yang jarang tidak memenuhi syarat menutup aurat bagi wanita baligh.
4) Bukan pakaian yang menarik perhatian (pakaian syuhrah).
Apa yang dimaksudkan pakaian untuk bermegah ialah pakaian yang berlainan daripada pakaian orang lain sama ada dari segi warna, fesyen atau potongan sehinggakan menarik perhatian orang lain serta menimbulkan rasa bongkak pada pemakainya.
Ibn Umar meriwayatkan daripada Nabi SAW bahawa Baginda bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang memakai pakaian bermegah-megah maka Allah Taala akan memakaikannya dengan pakaian yang serupa pada hari kiamat kelak kemudian ia akan dijilat api neraka.”
5) Tidak menyerupai pakaian lelaki atau pakaian orang kafir.
Pakaian yang menutup tubuh badan tidak dikira sebagai memenuhi ciri pakaian Islam jika menyerupai pakaian orang kafir. Ia berdasarkan hadis Rasulullah SAW seperti diriwayatkan Ibn Abbas: “Rasulullah melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki.”
Larangan menyerupai pakaian orang bukan Islam ini atas alasan ia boleh menjatuhkan martabat Islam dan penganutnya.
6) Tidak bertabarruj.
Tabarruj dalam bahasa mudah boleh diertikan sebagai bersolek. Ada juga yang mengatakan tabarruj ialah melepaskan tudung kepalanya tetapi tidak mengikat/mengetatkannya, lalu terlihatlah rantai leher, anting-anting dan lehernya. Kesimpulannya tabarruj ialah memperlihatkan keelokan, kecantikannya yang sepatutnya wajib ditutup.
Larangan ini berdasarkan kepada firman Allah yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku (tabarruj) seperti orang jahiliah dulu (pertama).” (Surah al-Ahzab, ayat 33)
Ayat itu petunjuk kepada isteri Nabi SAW supaya tetap di rumah dan tidak bertabarruj seperti orang jahiliah dulu. Konsep tabarruj jika dilihat dalam kerangka lebih luas meliputi perbuatan wanita mendedahkan aurat, memakai wangian apabila keluar rumah, cara berjalan atau tingkah laku yang menarik perhatian lelaki ajnabi.
Pakaian wanita menutup aurat mestilah memenuhi ciri disebutkan walau di mana mereka berada. Berdasarkan syarat itu juga dapat kita ukur sejauh mana wanita Muslimah sudah menutup aurat atau hanya bertudung saja seperti fenomena di Malaysia apabila ramai bertudung tetapi memakai pakaian tidak menepati syariat. Ia adalah fenomena pemakaian tudung kerana fesyen, ikut-ikutan, paksaan ataupun berdasarkan kejahilan dan bukannya ilmu Islam sebenar.
oleh Hamidah binti Mat
Penulis ialah Pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan boleh dihubungi di emel wanitajim0@yahoo.com
sumber: http://jendelahikmah05.blogspot.com/2007/06/menutup-aurat-bukan-sekadar-pakai.html
Posted by nik_khoir at 3:20 PM 0 comments
Tuesday, December 16, 2008
Yang dicari..

"Yang dicari,
walau bukan putera raja,
biarlah putera agama.
Yang diimpi,
biarlah tak punya rupa,
asal sedap dipandang mata.
Yang dinilai,
bukan sempurna sifat jasmani,
asalkan sihat ruhani, sempurna hati.
Yang diharap,
bukan jihad pada semangat,
asal perjuangannya ada matlamat.
Yang datang,
tak perlu rijal yang gemilang,
kerana ana serikandi dengan silam yang kelam.
Yang dinanti,
bukan lamaran dengan permata,
cukuplah akad dan janji setia.
dan yang terjadi,
andai tak sama kehendak hati,
ana redha ketetapan Ilahi,
itulah ketentuan sejak azali.."
Posted by nik_khoir at 10:17 PM 0 comments
Monday, December 1, 2008
Seorang gadis itu
Bacalah nukilan dibawah dengan hatimu..
Mg dengan izin Allah, hatimu beroleh sebuah kekuatan..
InsyaAllah

yang lembut fitrah tercipta,
halus kulit, manis tuturnya,
lentur hati …
telus wajahnya,
setelus rasa membisik di jiwa,
di matanya cahaya,
dalamnya ada air,
sehangat cinta,
sejernih suka,
sedalam duka,
ceritera hidupnya …
seorang gadis itu …
hatinya penuh manja,
penuh kasih sayang semuanya,
cinta untuk diberi …
kasih untuk dirasa …
namun manjanya
bukan untuk semua,
bukan lemah,
atau kelemahan dunia …
ia bisa kuat,
bisa jadi tabah,
bisa ampuh menyokong,
pahlawan-pahlawan dunia …
begitu unik tercipta,
lembutnya bukan lemah,
tabahnya tak perlu pada
jasad yang gagah …
seorang gadis itu …
teman yang setia,
buat Adam dialah Hawa,
tetap di sini …
dari indahnya jannah,
hatta ke medan dunia,
hingga kembali mengecap nikmatNya …
seorang gadis itu …
bisa seteguh Khadijah,
yang suci hatinya,
tabah & tenang sikapnya,
teman ar-Rasul,
pengubat duka & laranya …
bijaksana ia,
menyimpan ílmu,
si teman bicara,
dialah Áishah,
penyeri taman Rasulullah,
dialah Hafsah,
penyimpan mashaf pertama kalamullah …
seorang gadis itu …
bisa setabah Maryam,
meski dicaci meski dikeji,
itu hanya cerca manusia,
namun sucinya ALLah memuji …
seperti Fatimah kudusnya,
meniti hidup seadanya,
puteri Rasulullah …
kesayangan ayahanda,
suaminya si panglima agama,
di belakangnya dialah pelita,
cahaya penerang segenap rumahnya,
ummi tersayang cucunda Baginda …
bisa dia segagah Nailah,
dengan dua tangan
tegar melindung khalifah,
meski akhirnya bermandi darah,
meski akhirnya khalifah rebah,
syahid menyahut panggilan Allah .
seorang gadis itu …
perlu ada yang membela,
agar ia terdidik jiwa,
agar ia terpelihara …
dengan cinta Rabbnya,
dengan rindu Rasulnya …
dengan yakin Deennya,
dengan teguh áqidahnya,
dengan utuh cinta yang terutama,
Allah dan juga RasulNya,
dalam ketaatan penuh setia .
pemelihara maruah dirinya,
agama, keluarga & ummahnya …
seorang gadis itu …
melenturnya perlu kasih sayang,
membentuknya perlu kebijaksanaan,
kesabaran dan kemaafan,
keyakinan & penghargaan,
tanpa jemu & tanpa bosan,
memimpin tangan, menunjuk jalan …
seorang gadis itu …
yang hidup di alaf ini,
gadis akhir zaman,
era hidup perlu berdikari …
dirinya terancam dek fitnah,
sucinya perlu tabah,
cintanya tak boleh berubah,
tak bisa terpadam dek helah,
dek keliru fikir jiwanya,
kerana dihambur ucapkata nista,
hanya kerana dunia memperdaya …
kerana seorang gadis itu,
yang hidup di zaman ini …
perlu teguh kakinya,
mantap iman mengunci jiwanya,
dari lemah & kalah,
dalam pertarungan yang lama …
dari rebah & salah,
dalam perjalanan mengenali Tuhannya,
dalam perjuangan menggapai cinta,
nikmat hakiki seorang hamba,
dari Allah yang menciptakan,
dari Allah yang mengurniakan,
seorang gadis itu …
anugerah istimewa kepada dunia!
seorang gadis itu …
tinggallah di dunia,
sebagai ábidah,
da’ieyah & mujahidah,
pejuang ummah …
anak ummi & ayah,
muslimah yang solehah …
kelak jadi ibu,
membentuk anak-anak ummah,
rumahnya taman ilmu,
taman budi & ma’rifatullah …
seorang gadis itu …
moga akan pulang,
dalam cinta & dalam sayang,
redha dalam keredhaan,
Tuhan yang menentukan …
seorang gadis itu dalam kebahagiaan!
Moga ar-Rahman melindungi,
merahmati dan merestui,
perjalanan seorang gadis itu …
menuju cintaNYA yang ABADI!
amin….
Posted by nik_khoir at 10:19 PM 0 comments
Saturday, November 29, 2008
Cinta adalah fitrah manusia
Cinta boleh menjadi fitnah
Memang benar cinta itu adalah satu fitrah bagi semua manusia normal. Dan fitrah itu sesuatu yang suci. Maknanya cinta itu pada asalnya satu fitrah yang bersih, hanya bila dicemari oleh nafsu dan dicampurkan dengan perkara terlarang yang mendorong ke arah maksiat besar, fitrah boleh berubah menjadi fitnah pula. Di antara tujuan diciptakan perasaan ini adalah untuk menguji perempuan dan lelaki, sepertimana firman Allah dalam surah Al-Furqan: (( dan kami telah jadikan sebahagian kamu dengan sebahagian yang lain fitnah, adakah kamu
melihatnya? Sesungguhnya Tuhanmu Maha Melihat )).
Seperti yang telah dinyatakan, Allah Taala telah menetapkan jalan yang halal mengikut syara' untuk memenuhi naluri fitrah ini iaitu melalui jalan perkahwinan, dan telah diharamkan segala jalan lain selain perkahwinan supaya manusia tidak terjebak dalam perkara haram
dan kotor yang dimurkai Allah Taala. Ini kerana manusia itu secara semulajadinya memang inginkan kepada keseronokan yang ditimbulkan oleh nafsu, dan syaitan pula akan sentiasa mengambil kesempatan mendorong mereka ke jalan nafsu yang menjadikan manusia hilang akal dan bimbingan diri.
Cinta itu boleh berubah menjadi satu fitnah bilamana ia dicampurkan dengan perkara perkara yang diharamkan oleh Allah Taala. Apabila larangan Allah diperlekehkan,nafsu lantas mengemudi hati, maka hilanglah rasa malu di dalam diri. Dek kerana itu, maka kebelakangan ini sering kita direntet oleh isu yang mengigit sukma lakunya. Antara perilaku sumbang yang semakin sebati dikalangan remaja hari ini.
1. Memandang kepada bukan mahram
Firman Allah di dalam surah an-Nur, ayat 30, mafhumnya: ((Katakanlah pada lelaki yang beriman: "hendaklah mereka menjaga pandangan dan memelihara kemaluan mereka, yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka… ).
Apabila pandangan melihat benda yang tidak elok, maka manusia akan terdorong untuk melakukan maksiat seperti zina. Oleh sebab itu, Allah telah mengharamkan memandang kepada wanita yang bukan mahram dengan sengaja, maksudnya dengan shahwat dan tanpa sebab syar'ie, seperti kehakiman, muamalat harian tujuan untuk menikahi perempuan yang dilihat dengan syarat-syarat tertentu. (rujuk bab an-nazru tulisan dari. Abdul Karim Zaidan dalam "Al-mufassal fi ahkam almar'ah wa baitul muslim", jilid 3.) Ini kerana pandangan yang tidak bersebab itu boleh membangkitkan syahwat serta menimbulkan fitnah, juga mungkin akan mengikat hati lelaki pada wanita.
Justeru, pandangan mata perlulah dijaga demi keselamatan hati dan rohani, kerana pandangan juga boleh membawa kepada zina, seperti sabda Rasulullah, "dua mata itu boleh berzina melalui pandangannya"-riwayat Bukhari.
2. Berjumpa dan berjalan berdua-duaan
Seorang perempuan tidak dibenarkan bermusafir sendirian, dan bertemu lelaki ajnabi sendirian, seperti sabda Nabi s.a.w: " Tidak bermusafir seorang perempuan kecuali ada bersamanya mahramnya, dan tidak boleh seseorang masuk menemuinya kecuali ada mahramnya."- hadis riwayat Imam Bukhari.
3. Berpegangan tangan
Di dalam Islam, mengikut pendapat jamhur dan rojih, seorang muslim diharamkan bersalaman/bersentuhan dengan semua wanita (iaitu dalam hal biasa, dibolehkan dalam hal darurat seperti perubatan), kecuali dengan mahramnya: ibunya, adik beradiknya,anaknya, ibu mertuanya, ibu saudaranya, anak saudaranya, isterinya dan anak tirinya( anak isteri).
Jika dilihat dari sirah Rasulullah, baginda amat tegas menjauhi persentuhan lelaki perempuan, hatta dalam hal penting sekalipun seperti bai'ah. Bahkan rasulullah akan mengambil bye'ah wanita melalui ikrar sahaja. Daripada Aisyah r.a, katanya: Nabi mengambil bai'ah para wanita dengan ikrar, baginda tidak pernah menyentuh tangan wanita kecuali wanita yang halal baginya.-riwayat Bukhari.
Namun yang demikian, mengapa masih ramai anak anak muda berpasangan berpegangan tangan, sedangkan baginda Rasulullah s.a.w pernah bersabda: "sekiranya seseorang itu mencucuk kepalanya dengan jarum besi, itu adalah lebih baik baginya dari menyentuh perempuan yang tidak halal baginya"- riwayat Tabrani dengan sanad yang soheh. Telah menjadi fitrah pada lelaki dan wanita apabila bersentuhan keduanya maka akan timbul rasa seronok di hati. Ini akan menjadi satu permulaan kepada perkara maksiat. Syaitan pula akan sentiasa mengambil kesempatan menghiasi perkara yang dimurkai Allah agar kelihatan indah.
Bersentuhan sangat berkaitan dengan hawa nafsu, dan hawa nafsu itu adalah buta dan tuli. Apabila nafsu menjadi raja, maka syaitan pun bertepuklah tangan. Bagi wanita pula,malu itu adalah ibarat mahkota yang tidak perlukan singgahsana. Tetapi sekiranya mahkota ini tercabut dari singgahsananya, maka jadilah wanita itu lebih dahsyat daripada 70 ekor syaitan!
4. Berdua-duaan / dating/ khalwah ajnabiyah
Sesungguhnya Rasulullah saw telah bersabda: "Janganlah seorang lelaki berdua-duaan dengan wanita, sesungguhnya yang ketiga di antara mereka berdua adalah syaitan"-(riwayat imam Ahmad). Tidak syak lagi bahawa berdua-duaan satu perkara yang amat besar bahayanya. Nafsu shahwat akan memungkinkan segalanya, ditambah lagi syaitan yang akan berusaha kuat untuk menjerumuskan manusia ke jalan kemaksiatan. Apabila sudah berada di landasan keseronokan nafsu, seseorang baik lelaki mahupun wanita akan lupa kekuasaan Allah, kemurkaan dan azabNya. Mereka juga akan melupakan nilai kesucian diri dan kemuliaan sifat terpuji. Dalam keadaan berdua-duaan amatlah mudah untuk terjatuh ke dalam jenayah yang besar. Bahkan ianya merupakan satu peringkat yang paling menghampirkan diri kepada zina, dan ianya terbukti dengan kes-kes penangkapan khalwat, dan muqaddimah zina serta zina itu sendiri yang berpunca dari berdua-duaan.
Rasulullah saw bersabda: "Jauhilah daripada berdua-duaan dengan perempuan, Demi diriku yang berada dalam tanganNya, tidaklah berkhalwat dua orang lelaki dan perempuan kecuali ada syaitan diantara mereka.. dan jika sekiranya seorang lelaki berhimpit dengan seekor bab* yang berlumuran lumpur dan kotoran itu lebih baik baginya dari berhimpit bersentuhan bahu dengan perempuan yang tidak halal baginya". Hadis di atas jelas mengharamkan khalwat dan duduk berdua bersama, kalau di zaman kita ini termasuklah duduk berdua-duaan bersebelahan di dalam bas, wayang dan sebagainya. Satu alasan yang popular bagi mereka yang ingin berdua-duaan ialah untuk mengulangkaji pelajaran. Menuntut ilmu itu memanglah satu perkara yang dituntut, tapi apakah sudah tidak ada pelajar lain di atas muka bumi ini untuk belajar bersama sama. atau sudah tiada pelajar yang sama jantina yang boleh membantu dalam pelajaran.
Cuba kita renungi kata-kata Imam Hasan al-Basri : "Jangan kamu berdua-duaan dengan perempuan, walaupun kamu berkata. saya mengajarkannya al-Quran". Demikianlah beberapa hujah dari baginda Rasulullah sendiri serta para ulama tentang larangan dan bahaya khalwah atau berdua-duaan dengan orang yang bukan mahram.
PERSOALAN : Telefon dan SMS - boleh atau tidak Seperti yang kita tahu, telefon dan SMS merupakan alat perantaraan komunikasi yang tidak wujud di zaman rasul, sahabat mahupun tabiin. Dalam hal ini saya mengembalikan hukum sesuatu perbuatan itu kepada asalnya, iaitu mengikut kaedah usul fiqh, asal kepada setiap satu itu adalah harus, selagi tidak ada nas yang mengharamkannya. Atau dalam masalah telefon barangkali dapat kita lihat dalam bab mendengar percakapan wanita , satu bab yang ada dalam kitab fiqh. Bercakap dan mendengar percakapan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram/ajnabi, dengan satu hajat atau tujuan yang baik, adalah diharuskan di dalam Islam, selagimana ianya aman dari fitnah, tidak menimbulkan shahwat, dan tidak melalaikan dari mengingati Allah Ta'ala.
Di dalam Soheh Bukhari dan soheh muslim misalnya, terdapat hadis yang menerangkan bagaimana Rasulullah mengambil bye'ah dari para muslimah dengan percakapan. Ibnu Hajar dalam syarah Soheh Bukhari, kitab Fathul Bari menyimpulkan dari hadis ini bahawa, mendengar percakapan perempuan itu adalah harus, dan suara mereka bukanlah aurat. Imam Nawawi pula dalam syarah sahih muslim menyatakan: dalam hadis ini kita dapati bahawa percakapan wanita itu harus untuk kita mendengarnya dengan ada hajat atau tujuan, dan suara mereka bukanlah aurat. (rujuk Mufassal, Abd karim Zaidan, jilid 3, m/s 276/277)
Antara dalil lain yang mengharuskan percakapan antara lelaki dan wanita yang bukan mahram ialah Al-Qur'an memperbolehkan laki-laki bertanya kepada isteri-isteri Nabi saw dari balik tabir. Allah berfirman: "Apabila kamu meminta sesuatu (keperluan) kepada mereka (isteri-isteri Nabi), maka mintalah dari belakang tabir ..."(al-Ahzab: 53). Permintaan atau pertanyaan dari para sahabat itu sudah tentu memerlukan jawapan dari Ummahatul Mukminin. Mereka memberi fatwa kepada orang yang meminta fatwa kepada mereka, dan meriwayatkan hadits-hadits bagi orang yang ingin mengambil hadits mereka. Pernah ada seorang wanita bertanya kepada Nabi saw. dihadapan kaum laki-laki. Ia tidak merasa keberatan melakukan hal itu, dan Nabi pun tidak melarangnya.
Dan pernah ada seorang wanita yang menyangkal pendapat Umar ketika Umar sedang berpidato di atas mimbar. Atas sanggahan itu, Umar tidak mengingkarinya, bahkan ia mengakui kebenaran wanita tersebut dan mengakui kesalahannya sendiri seraya berkata, "Semua orang (bisa) lebih mengerti daripada Umar."
Sebelum itu, wanita tersebut dan saudara perempuannya juga berkata kepada Musa ketika Musa bertanya kepada mereka: "... Apakah maksudmu (dengan berbuat begitu)? Kedua wanita itu menjawab, 'Kami tidak dapat meminumkan (ternak kami), sebelum penggembala-penggembala itu memulangkan (ternaknya), sedangkan bapak kami adalah orang tua yang telah lanjut usianya." (al-Qashash: 23)
Selanjutnya, Al-Qur'an juga menceritakan kepada kita percakapan yang terjadi antara Nabi Sulaiman a.s. dengan Ratu Saba, serta percakapan sang Ratu dengan kaumnya yang laki-laki. Begitu pula peraturan (syariat) bagi nabi-nabi sebelum kita menjadi peraturan kita selama peraturan kita tidak menghapuskannya, sebagaimana pendapat yang terpilih. Yang dilarang bagi wanita ialah melunakkan pembicaraan untuk menarik laki-laki, yang oleh Al-Qur'an diistilahkan dengan al-khudhu bil-qaul (tunduk/lunak/memikat dalam berbicara), sebagaimana disebutkan dalam firman Allah: "Hai isteri-isteri Nabi, kamu sekalian tidaklah seperti wanita yang lain, jika kamu bertakwa. Maka janganlah kamu melunakkan suara dalam berbicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada penyakit dalam hatinya, dan ucapkanlah perkataan yang baik." (al-Ahzab: 32)
Allah melarang khudhu, yakni cara bicara yang bias membangkitkan nafsu orang-orang yang hatinya "berpenyakit." Namun, dengan ini bukan bererti Allah melarang semua pembicaraan wanita dengan setiap laki-laki. Perhatikan hujung ayat dari surat di atas: "Dan ucapkanlah perkataan yang baik". Melalui hujah ini, maka harus untuk seseorang bercakap melalui telefon, atau menghantar SMS, dengan hajat dan tujuan yang baik di sisi syara' seperti yang dibawakan dalam contoh-contoh di atas serta aman dari fitnah, syahwat dan tidak melalaikan kita dari mengingati Allah Ta'ala. Semua ini hanya dapat ditentukan oleh diri orang yang menelefon atau memberi sms itu sendiri, samaada percakapannya itu menimbulkan fitnah atau tidak, melalaikan atau tidak, maka kalau dia berdusta pada dirinya sendiri dan orang lain,maka itu antara dia dan Allah Ta'ala.
Cinta sebagai satu fitrah
Islam menggariskan satu sistem yang syumul yang merangkumi seluruh aspek kehidupan. Oleh kerana Allah sendiri yang mencipta kita, Dia Maha mengetahui segala naluri dan fitrah kita. Kerana itulah Islam meraikan fitrah dan kehendak naluri manusia, dan salah satu daripadanya adalah cinta. Dari Muhammad Muhammad As-sharif, dari Universiti Al-Azhar dalam bukunya " Islah Al-Ummah A'lah Huda As-Sunnah" (islah @ reformasi ummah di atas cahaya sunnah) menyatakan bahawa telah difitrahkan yang seorang lelaki akan mempunyai perasaan terhadap perempuan, dan begitulah sebaliknya.
Ini kerana perempuan itu dijadikan daripada rusuk lelaki, sebab itu lelaki ada perasaan terhadap wanita yang sememangnya dijadikan daripada satu bahagian tubuh dirinya sendiri. Kalau dilihat dari kisah kehidupan awal manusia, seperti diceritakan dalam kitab sirah imam Ibnu Kathir, "al-bidayah wa an-nihayah",dan beberapa kitab lain, bahawa nabi Adam alaihissalam sendiri kesunyian ketika mula diciptakan di dalam syurga, lalu Allah menciptakan Hawa bagi menjadi teman hidup Adam. Tapi Allah tidak membiarkan mereka bercinta begitu saja tanpa ada ikatan, mereka lantas diijabkabulkan. Allah Taala berfirman, maksudnya: "Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu ada satu contoh yang amat baik untuk kamu ikuti..". sepanjang rentetan sejarah rasul dan para sahabat, perkataan cinta itu wujud dalam rumahtangga mereka.
Apabila seseorang jatuh cinta dengan perempuan, mahu menjadikannya sebagai serikandi hidup, maka dibenarkan dia melihat perempuan itu mengikut batas syara'. Terdapat hadis hadis dalam bab bolehnya melihat orang yang berkenan untuk dibuat isteri (maknanya melihat kepada yang bukan aurat), contohnya hadis riwayat Imam Tirmizi: daripada Mughirah bin Syu'bah, bahawa dia hendak meminang seorang perempuan, lalu bersabda Rasulullah s.a.w: " Pergilah kamu melihatnya, sesungguhnya ia akan memanjangkan lagi kasih sayang antara kamu berdua nanti". Tafsirannya, bila jatuh hati atau berkenan pada seseorang perempuan, tindakan seterusnya adalah mengikat ikatan samaada khitbah atau pertunangan ataupun berkahwin. Selepas itu mereka barulah mereka bercinta sebagai suami isteri.
Maka daripada perkara di atas, Islam menyediakan ruang untuk bercinta, iaitu percintaan untuk perkahwinan. Maknanya di sini Islam meletakkan cinta itu sebagai satu tanggungjawab, bukan satu permainan atau keseronokan semata mata. Jika benar benar mencintai seorang perempuan itu, seorang lelaki hendaklah menunaikan tanggungjawabnya, jika sudah bersedia maka ikatlah dengan ikatan yang sah, jika belum bersedia, banyak-banyaklah berdoa pada Allah dan jangan sekali kali melakukan perkara yang berlanggar dengan syara'yang boleh mencemarkan kesucian cinta sebagai satu fitrah. Justeru, bersamalah kita mengawal fitrah yang indah ini agar tidak terpesong ia menjadi fitnah, InsyaAllah. Hanya cinta Allah yang boleh memimpin kita meniti lembah sunyi menuju firdausi. Wallahua'lam.
Jangan mudah melafaz sayang, sayang itu pada siapa..
Jangan mudah melafaz cinta, cinta itu pada Yang Esa,
Cintakan bunga, bungakan layu..
Date: Sunday, July 09 2006 @ 00:00:00 MYT
Topic: Kisah_Tauladan dept.
Sumber: http://asamboi.org/asamv4/index.php?op=NEArticle&sid=176
Posted by nik_khoir at 1:15 AM 0 comments



