Friday, August 8, 2008
Tegakkanlah rumah tangga Muslim 2
Tegakkan RumahTangga Muslim
~Dipetik dari buku Tariq Ad-dakwah, Ustaz Mustafa Masyhur~
Part 2
19.4 Perkahwinan Itu Ibadat
Risalah dan tugas kita di dalam hidup ini ialah beribadat kepada Allah Taala. Oleh itu, kita mestilah berusaha menjadikan segala urusan hidup kita sebagai ibadat kepada Allah s.w.t. Kita jadikan seluruh kehidupan hidup sebagai alat untuk menghampirkan diri kepada Allah. Kita gunakan hidup kita dengan segala kemudahan yang ada untuk menolong kita beribadat kepada Allah.
Kerjaya, perkahwinan, pendidikan anak-anak dan Iain-lain perkara yang merangkumi segala kegiatan hidup kita semuanya itu merupakan ibadat kerana Allah untuk menghampirkan diri kepada Allah asalkan ia dilakukan kerana mengharapkan keredhaan Allah dan menjauhi kemurkaanNya.
Oleh itu putera puteri Islam mestilah menganggap urusan perkahwinan mereka sebagai ibadah mereka kepada Allah apabila diurus menurut hukum Allah. Kedua-dua pihak mengharap keredhaan dan ganjaran Allah. Oleh kerana itu kedua belah pihak mestilah mengetahui ajaran-ajaran dan adab-adab Islam, hak-hak dan tanggungjawab suami isteri, rumahtangga dan keluarga, bersungguh-sungguh melaksanakan tugas masing-masing dan beriltizam dengan adab-adab itu.
Tolong menolong ke arah kebaikan, menuju takwa dan ke arah mentaati Allah di dalam pergaulan mereka. Saling menghargai, saling menghormati dan berkasih sayang di antara keduanya semuanya itu mesti diatur menurut syariat Islam. Benarlah Rasulullah s.a.w. tatkala baginda bersabda yang bermaksud:
"Semoga Allah memberi rahmat kurnia kepada lelaki yang bangun di tengah malam lalu dia sembahyang dan membangunkan isterinya, maka sekiranya enggan juga bangun untuk bersembahyang, dia merenjiskan air ke mukanya. Semoga Allah memberi rahmat kurnia kepada wanita yang bangun di tengah malam itu lalu bersembahyang dan membangunkan suaminya. Maka jika dia enggan, dia merenjiskan air ke mukanya" (Riwayat Abu Daud dengan sanad yang sahih)
19.5 Perkahwinan Itu Saling Percaya Mempercayai
Apabila telah wujud suasana saling percaya mempercayai cinta-mencintai di antara suami isteri, lahirlah kebahagiaan dan kepuasan jiwa di dalam rumahtangga mereka. Rumahtangga mereka menjadi rumahtangga muslim yang bahagia dalam kebahagiaan yang sejati selagi ianya diatur menurut peraturan syariat Islam. Hapuslah segala prasangka, hilanglah segala keraguan. Tiada lagi kata mengata, tuduh-menuduh dan kepura-puraan. Kebahagiaan yang sedemikian rupa tidak akan wujud kecuali di bawah naungan takwa kepada Allah dan mencintai Allah di waktu terang dan rahsia, di waktu tersembunyi dan waktu dilihat.
Lantaran itu, tenteramlah jiwa suami dan berpuas hati kepada isterinya dan yakinlah ia bahawa isterinya hanyalah untuk dirinya sendiri sahaja, yang memelihara diri walau berapa lama pun dia terpisah dari isterinya. Demikian juga sikap isterinya terhadap suaminya dibaluti dengan sepenuh kepercayaan itu. Di dalam suasana bahagia yang demikian, syaitan dari bangsa jin dan manusia tidak mempunyai jalan untuk mengganggu dan mengoda keduanya.
19.6 Perkahwinan Sebagai Syarikat Yang Dipimpin oleh Suami
Apabila kehidupan rumahtangga suami isteri dibangunkan di atas dasar kerjasama, di atas syura, tolong-menolong, cinta-mencintai, di bawah pimpinan suami sebagai pihak yang bertanggungjawab, yang mempunyai kata dan kuasa pemutus, inilah yang mendorong melahirkan kemantapan, keteguhan, kerukunan dan kebahagiaan rumahtangga dan keluarga yang selama ini diimpikan dan diidamkan oleh manusia di seluruh dunia. Jika masih terdapat kepincangan di dalam pertimbangan ini, maka tidak akan wujud satu kemantapan dan kebahagiaan. Benarlah Allah Taala di dalam firmanNya:
"Dan para wanita mempunyai hak yang seimbang dengan kewajipannya menurut cara yang maaruf. Akan tetapi para suami mempunyai satu tingkatan kelebihan daripada isterinya". (Al-Baqarah: 228)
"Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah lebih melebihkan sebahagiaan mereka (lelaki) atas sebahagiaan yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka". (An-Nisa': 34)
Lantaran itu sempurnalah penntadbiran urusan rumahtangga dan pertimbangannya di dalam suasana penuh kerjasama, tanggungjawab dan syura di dalam batas-batas ajaran Islam. Tidak lagi wujud keborosan dan kebakhilan kerana semuanya berada di dalam rasa Qana’ah (berpuas hati dengan apa yang ada), redha dan yakin bahawa dunia ini bukanlah negara Jannatunna'im.
Lihatlah rumahtangga Rasulullah s.a.w. kadang-kadang berlalu sebulan demi sebulan, pernah dapurnya tidak berasap kerana tiada bahan makanan yang dapat dimasak. Walaupun demikian susahnya, rumahtangga Rasulullah s.a.w. tetap menjadi rumahtangga yang paling bahagia yang tidak ada tolok bandingnya hingga hari ini.
19.7 Perkahwinan Adalah Tanggungjawab dan Amanah
Suami isteri mestilah menyedari dan merasai bahawa mereka memikul amanah dan tanggungjawab. Setiap orang dari kamu adalah pemimpin yang bertanggungjawab terhadap rakyatnya. Oleh itu, hendaklah kamu bertakwa kepada Allah di dalam perkara yang dipertanggungjawabkan dan diamanahkan kepada kamu. Benarlah Allah yang berfirman:
"Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu". (AtTahrim:6)
Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Orang yang paling baik di kalangan kamu adalah yang paling baik kepada ahlinya dan akulah yang paling baik di kalangan kamu terhadap ahlinya".
Kita sentiasa memerlukan pertimbangan yang waras demi pemeliharaan itu, sebagai contoh, kita biasa memberi perhatian yang berlebihan apabila salah seorang dari anggota keluarga kita jatuh sakit. Tetapi perhatian yang sewajarnya tidak diberikan terhadap salah seorang anggota keluarga yang mencuaikan hak Allah atau menyalahi ajaran Islam, padahal itulah yang paling utama diperhatikan dan diubati.
19.8 Rumahtangga Muslim Merupakan Risalah
Sebagaimana kita menghendaki bentuk yang benar dan hidup bagai Islam dan seorang muslim yang benar akidahnya, yang benar ibadatnya, yang benar akhlaknya, yang benar sikap dan yang benar segala tindak tanduk dan perkataannya, demikian juga kita menghendaki rumahtangga muslim itu supaya menjadi pusat perlaksanaan segenap ajaran Islam di dalam hidup berkeluarga dengan perlaksanaan yang selamat sejahtera dan teliti.
Kita ingin melihat suami muslim yang memikul tanggungjawab terhadap rumahtangganya menurut ketentuan Islam. Kita mahu melihat bapa muslim yang memelihara anak-anaknya dengan adab-adab Islam, memberi kefahaman Islam yang sejati kepada mereka dan mengawasi mereka pada setiap peringkat hidup mereka. Kita mahu melihat isteri muslimah yang menjadikan rumahtangga sebagai taman sari yang memuaskan dan menggembirakan suaminya.
Di dalamnya terdapat hiburan dan keberkatan jauh dari kepayahan dan penat lelah perjuangan dan menolong suaminya mentaati Allah Taala. Alangkah indah dan hebatnya kata-kata yang diucapkan oleh seorang isteri kepada suaminya tatkala dia keluar dari rumahnya di waktu pagi: "Bertakwalah kepada Allah di dalam urusan kami dan janganlah kekanda memberi kami makanan kecuali yang halal dan baik-baik sahaja".
Kita ingin melihat di dalam rumahtangga muslim ini, ibu muslim yang memelihara anakanak dan membentuk mereka menurut acuan Islam kerana dialah yang sentiasa berdamping dengan mereka. Inilah risalah, amanah dan tugas para wanita dan isteri yang paling penting yang selama ini cuba dihapuskan oleh musuh-musuh manusia. Mereka cuba menyelewengkan fakta-fakta ini dari para isteri dengan berbagai-bagai pembohongan dan penipuan dengan tujuan untuk merobohkan bangunan masyarakat.
Kita ingin melihat di dalam rumahtangga muslim itu, putera puteri Islam yang sejati yang memperhambakan diri mereka kepada Tuhan. Mereka mentaati Allah, berbuat baik dan berjasa kepada ibu bapa. Mereka bergaul dengan sahabat-sahabat mereka menurut adab-adab Islam dan tidak lahir dari mulut sepatah perkataan dan sebarang perbuatan yang bertentangan dengan Islam. Kita mengingini rumahtangga muslim yang memelihara hubungan silaturrahim, yang sentiasa mengambil berat urusan kerabat dan menyempurnakan hak-hak mereka.
Kita mahu melihat rumahtangga dan keluarga muslim menjadi satu bentuk yang ulung di mana Islam telah terpahat kukuh di dalam diri mereka. Mereka bergaul baik dengan khadam mereka, di mana khadam mereka makan apa yang mereka makan dan berpakaian seperti apa yang mereka pakai dan tidak membebankan sesuatu bebanan di luar kemampuannya. Apabila mereka membebankan sesuatu di luar kemampuannya, mereka menolongnya. Kita ingin melihat dari rumahtangga muslim itu satu bentu yang unik sebagaimana yang telah digariskan oleh Islam tentang berbuat baik di dalam bermuamalah dengan jiran. Mereka menyempurnakan hak jiran sebagaimana peranan Rasulullah s.a.w.
Kita menghendaki rumahtangga muslim yang melahirkan contoh teladan yang baik dalam setiap aspek kehjdupan. Dengan fesyen pakaian yang Islamik, makanan dan minuman yang halal, akhlak yang mulia, sikap yang Islamik, gaya yang Islamik dalam setiap adat dan tradisi, di waktu suka dan duka. Mereka menjauhi segala unsur-unsur jahiliah dan budaya jahiliah yang diimport dari luar. Kita tidak mahu melihat dari golongan sahib-ad-dakwah yang menyeru manusia kepada Allah, yang berjalan di atas jalan dakwah, melakukan sebarang kecuaian atau kelalaian di dalam melahirkan serta membina anggota-anggota keluarganya dengan ajaran Islam di dalam sebarang lapangan kehidupan keluarganya. Sesungguhnya orang yang lemah dalam memimpin rumahtangganya tidak akan mampu memimpin orang lain apatah lagi rumahtangga orang lain.
19.9 Rumahtangga Muslim Sebagai Markas Memancarnya Cahaya
Rumahtangga muslim yang sejati menurut tabiat dan lojiknya mesti menjadi pusat dakwah Islam. Setiap anggota keluarga yang akil baligh wajib menjadi sahibud-dakwah, pendokong dakwah, menyeru rumahtangga dan keluarga sekitarnya kepada Allah dengan penuh kesabaran, dengan hikmah dan nasihat yang baik. Isteri yang solehah mampu menarik hati jiran-jiran dengan dakwah kepada Allah. Kehadiran mereka merubah majlis-majlis yang dikuasai oleh umpatmengumpat dan sia-sia menjadi majlis-majlis ilmu dan pelajaran dan ke arah memahami urusan agama.
Bidang dakwah Islam sangat memerlukan saudari muslimat yang menyeru manusia kepada Allah, supaya memainkan peranannya di kalangan puteri bangsanya. Sesungguhnya wanita hari ini kecuali yang telah mendapat taufik Allah telah dijadikan boneka oleh musuh-musuh Islam untuk meruntuhkan dirinya dan memusnahkan orang lain. Tetapi kita hendaklah menjadikannya sebagai wanita solehah yang turut bersama kita untuk memperbaiki yang rosak dan membangunkan yang maaruf dan merobohkan yang mungkar serta menghapuskan yang batil, menyokong kemuliaan dan memerangi kehinaan.
Kita menghendaki rumahtangga muslim sebagai rumah api yang memberi panduan dan petunjuk kepada orang-orang yang bingung dan sesat di sekitarnya. la menghapuskan dan memusnahkan segala kegelapan di sekelilingnya serta menyinari jalannya untuk dilalui oleh mereka. Dengan bertambahnya rumah-rumah muslim seperti ini akan bersambung-sambunglah daerah-daerah nur dan cahaya dan bercantum di antara satu sama lain sehingga mampu menyinari masyarakat. Maka dengan demikian keperibadian Islam mampu menyinari masyarakat dan memimpinnya di bawah naungan Islam. Lantaran itu kemuliaan mudah dikembang-biakkan dan kejahatan mudah dihapuskan. Barulah mudah dibentuk dasar dan asas keimanan yang bersih dan mantap sebagai asas bangunan Islam dan pemerintahan Islam seterusnya kerajaan Islam yang global.
Untuk itu, saudara saudari putera puteri Islam harus dan patut bersungguh-sungguh dan bersegera membangunkan rumahtangga muslim yang ideal yang menjadi model Islam yang sejati untuk menjadi contoh teladan kepada generasi baharu. Ini adalah satu langkah yang penting dan asasi di jalan dakwah Islam. Mohonlah pertolongan dari Allah supaya Allah mudahkan dan jangan menyusahkan.
Wabillah hi taufik-wal-hidayah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment