Thursday, July 24, 2008

Tegakkanlah rumah tangga Muslim


Tegakkanlah Rumah Tangga Muslim
~Dipetik dari buku Tariq Ad-dakwah, Ustaz Mustafa Masyhur~
Part 1

Memperbaiki diri sendiri dan menyeru orang lain kepada Allah merupakan dua kewajipan asas di atas jalan dakwah dan wajib ke atas setiap muslim, lelaki dan wanita. Di samping dua kewajipan itu timbul lagi satu kewajipan yang tidak kurang pentingnya iaitu menegakkan rumahtangga muslim.

Individu muslim itu adalah seorang manusia akidah yang wajib disediakan untuk menjadi muslim yang sejati, yang menjadi contoh Islam yang sahih dan teladan pemimpin yang patut diikuti. Kita sangat memerlukan rumahtangga muslim yang menjadi contoh sebagai tiang yang kuat di dalam pembangunan masyarakat Islam. Keluarga muslim mempunyai peranan yang penting di dalam kekuatan dan perpaduan masyarakat atau perpecahan dan kemusnahannya.

Rumahtangga merupakan pangkuan atau sarang bagi tunas-tunas baharu yang dididik dan dibentuk di peringkat pembentukan dan persediaan. Rumahtanggalah yang bertanggungjawab mencetak dan membentuk keteguhan peribadi anak-anak yang akan mencorakkan hidup mereka, benarlah Rasulullah s.a.w bersabda:
"Tiap anak itu dilahirkan di atas fitrahnya kejadian yang suci dan ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi atau menjadikannya Kristian ataupun menjadikannya Majusi".

Hadis Rasulullah s.a.w. mengenai pembangunan rumahtangga tidak dapat dibicarakan hanya dengan satu atau dua artikel sahaja, tetapi kita perlu merujuk kepada buku-buku dan karangan karangan yang telah mengupas perkara yang penting itu. Cukuplah saya terangkan sepintas lalu serba sedikit mengenainya supaya kita mendapat faedah daripadanya.

19.1 Pemilihan

Saudara muslim dan saudari muslimah yang mahu memperbaiki diri dan menyeru orang lain kepada Allah wajib ke atas keduanya memilih pasangan masing-masing. Putera Islam mencari puteri Islam untuk menjadi isterinya yang solehah. Puteri Islam mencari putera Islam untuk menjadikan suaminya yang soleh untuk berkongsi kehidupan suami isteri. Dari awal-awal lagi hendaklah mereka membangunkan keluarga muslim yang diasaskan di atas dasar takwa.

Saudara muslim yang sejati wajib mencari puteri Islam yang sejati dan memilih yang beragama, yang memahami tugas dan risalahnya di dalam kehidupan ini. Menjadikan pasangan hidupnya sebaik-baik penolong di atas jalan dakwah. Sentiasa mengingatkannya apabila dia lupa, sentiasa memberi perangsang dan tidak menghalangnya. Memelihara dirinya di waktu ketiadaannya walau berapa lama pun dan mendidik serta membentuk anak-anaknya menurut Islam yang sebenar.

Demikian juga puteri Islam yang sejati, tidak wajar dan tidak patut menerima sebarang jejaka untuk menjadi pasangan hidupnya kecuali seorang muslim yang sejati yang menjadi pendokong dakwah Islam. Iaitu seorang penganut akidah yang sahih yang bertakwa kepada Allah. Si isterinya pula dapat menolongnya untuk taat setia kepada Allah dan mencapai keredhaan Allah. Dengan cara yang demikian kita telah berjaya membangunkan sebuah keluarga Islam yang akan menjadi pusat dakwah dan jihad Islam. Rasulullah s.a.w. telah mengarahkan kita kepadanya dengan sabda baginda:
"Wanita itu dinikahi kerana empat perkara: kerana hartanya, kerana keturunannya dan pangkatnya,kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Maka hendaklah kamu mengambil wanita yang beragama supaya kamu berbahagia".

Oleh kerana itu Rasulullah s.a.w., tidak mengiktiraf wali yang menikahkan puterinya dengan seorang lelaki yang tidak disukai oleh puterinya. Ini memberi peluang kepada puteri Islam untuk memilih suami yang soleh.

19.2 Beriltizam dengan Batas-batas Islam

Kita mahu supaya undang-undang dan adab-adab Islam mampu mengawal dan menguasai setiap tahap dan peringkat pembangunan rumahtangga muslim. Sama ada dari peringkat pinangan, akad nikah, mempersiapkan rumahtangga sepasang suami isteri dan masa pengantin baru atau berbulan madu mestilah jauh dari adat lapuk jahiliah yang rosak.

Sama ada jahiliah lama atau baru, yang bertentangan dengan syariat Allah Taala ataupun yang menjadi penghalang di jalan perkahwinan yang kadang-kadang menghalang langsung untuk terlaksananya perkahwinan. Mengapakah tidak dilaksanakan akad nikah itu di masjid? Di dalam udara yang bersih dan luas yang jauh dari sikap menunjuk-nunjuk dan adat-adat buruk? Berbelanja berlebih-lebihan dan boros yang bertentangan dengan syariat Islam? Cadangan itu adalah wajar. Akad nikah di dalam masjid tidak digemari oleh manusia sebagaimana dulu mereka tidak menggemari fesyen pakaian Islam.

Tetapi kalau kita bersungguh-sungguh mendesak dan bertegas untuk melangsungkan akad nikah di dalam masjid, lama kelamaan ia akan menjadi perkara yang di sukai oleh manusia dan akan menjadi perkara yang biasa. Sebagaimana fesyen pakaian Islam menjadi lumrah dan disukai oleh manusia. Sesungguhnya itulah pertentangan di antara kemuliaan dan kehinaan. Kalau kita berpegang teguh dengan kemuliaan dan adab-adab Islam, kita akan berjaya menegakkan dan menanamkan keperibadian Islam yang kita cita-citakan ke atas manusia.

19.3 Kebahagiaan Rumahtangga Yang di Cita-citakan

Apabila telah selesai pemilihan yang berasaskan agama, sempurnalah langkah-langkah yang menuju ke alam perkahwinan sesuai dengan ajaran Islam. Mulalah kita membangunkan rumahtangga muslim di atas asas yang teguh yang akan merealisasikan kemantapan, ketenangan dan kebahagiaan yang sejati yang selama ini dicari-cari oleh beberapa banyak keluarga pada zaman ini.

Kebahagiaan itu bukan dari luar diri. Tidak pula dapat dicari dengan harta, tempat kediaman, pakaian dan perhiasan rumah. Tetapi kebahagiaan itu diperolehi dari dalam diri sendiri, dari ketakwaan kepada Allah. Kerana Allahlah yang mengurniakan kebahagiaan yang memberi mawaddah dan rahmah cinta dan kasih sayang di antara suami isteri. Benarlah Allah yang Maha Agung yang telah berfirman:
"Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cendurung dan merasa tenteram kepadanya dan dijadikannya di antaramu kasih dan sayang". (Ar-Rum: 21)

Kita tidak memandang kebahagiaan itu pada harta yang banyak, tetapi orang yang bertakwa itulah orang yang berbahagia..

bersambung..

No comments: