Ramadhan telah tiba, bulan yang penuh dengan
kelebihan dan ganjaran. Setiap detik di dalam bulan yang penuh keberkatan
ini amat berharga dan kemungkinan amalan di bulan inilah yang
memberikan perbezaan tempat kembalinya kita. Bagi muslimah yang
menyedari hakikat ini, kedatangan ‘tempoh bercuti’ setiap bulan sangat
tidak diharapkan pada bulan Ramadhan. Sering terdengar keluhan dari
mereka yang haid kerana sedih merasakan tidak mampu merebut pahala
ibadah di bulan ini, terutamanya sekiranya ‘ia’ datang ketika tempoh 10
malam terakhir. Malah, ada yang sanggup mengambil ubat penghalang
datangnya haid semata-mata untuk memanfaatkan sebulan Ramadhan.
Namun, ubatan sebegini kadang kala tidak memberikan kesan yang diharapkan
malah lebih mengganggu kestabilan hormon.
Sememangnya perasaan sedih ini hanya
akan lahir dari hati seorang muslimah yang sangat mengharapkan keampunan
dan ganjaran daripada Tuhannya. Saidatina Aisyah R.A sendiri pernah
menitiskan air mata kesedihan kerana merasakan hilangnya peluang beramal
dengan kedatangan haid. Namun, haid sebenarnya bukanlah satu perkara
yang buruk, bukan jua satu kekurangan yang patut ditangisi, kerana
disebaliknya masih ada peluang merebut ganjaran di bulan yang mulia ini.
Mari
kita lihat,bagaimana Rasulullah S.A.W menangani perasaan Aisyah apabila
beliau menangis kesedihan ketika didatangi haid ketika menunaikan
haji.
Baginda S.A.W bersabda yang bermaksud: “Ini adalah suatu yang
ditetapkan Allah ke atas anak-anak perempuan Adam, maka tunaikanlah apa
yang ditunaikan oleh orang yang melakukan haji kecuali janganlah kamu
bertawaf di Baitullah sehinggalah kamu telah mandi (suci dari haid)”. (Riwayat Muslim)
Haid
adalah suatu ketentuan yang telah Allah tetapkan ke atas kita(anak-anak
perempuan Adam), maka kita sepatutnya redha di atas ketentuan ini.
Redha merupakan salah satu daripada ibadah hati. Keredhaan kepada Allah
sebagai Tuhan menuntut keredhaan atas apayang diperintahkan-Nya dan apa
yang ditetapkan oleh-Nya.
Redha
Redha
di atas apa yang Allah perintahkan ke atas kita bermaksud kita
menyembah-Nya sebagaimana yang Dia perintahkan untuk kita lakukan, bukan
sebagaimana yang kita suka untuk lakukan. Tahukah anda bahawa perbuatan
anda berbuka puasa disebabkan haid merupakan suatu ibadah? Ini kerana
Allahlah yang memerintahkan kita untuk berpuasa pada hari-hari kita
tidak didatangi haid, dan Allah jualah yang memerintahkan kita untuk
berbuka ketika sedang haid, maka berpuasa ketika haid merupakan suatu
dosa kerana anda dikira melanggar perintah-Nya.
Redha
di atas apa yang Allah tetapkan ke atas hambanya pula bermaksud
penerimaan atas apa yang Allah telah ciptakan kita dan apa yang Allah
fitrahkan ke atas diri kita, termasuklah apa yang Allah tetapkan ketika
tempoh haid, dengan hati dan jiwa yang tenang. Perasaan sedih merupakan
suatu bentuk penentangan atas ketentuan Allah.
Firman Allah yang
bermaksud: “Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan (ingin mendapat)
limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu
(untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (tentang harta
benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (Kerana telah tetap)
orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan
orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan;
(maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah
kurnianya. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. “(An-Nisa’:32)
Oleh
itu, sekiranya anda redha dengan sebenar-benar redha anda telah
mengerjakan ibadah hati yang dengannya kita akan merasai kemanisan iman.
Ibadah ini mungkin tidak dikerjakan oleh kebanyakan mereka yang sedang
suci, malah mungkin tidak dikerjakan oleh kaum lelaki!
Sabda Rasulullah
yang bermaksud: “Telah merasai kemanisan iman barangsiapa yang redha
dengan Allah sebagai Tuhan, dan dengan Islam sebagai deen, dan dengan
Muhammad sebagai nabi dan rasul.”(Riwayat Muslim)
Rindu
Rindu
seorang muslimah yang sedang haid untuk melakukan solat dan membaca
Al-Qur’an juga merupakan suatu ibadah yang tidak didapati di kalangan
mereka yang sedang suci. Malah sekiranya terdapat rindu di hati kita
untuk melakukan ibadah, kita lebih baik berbanding mereka yang melakukan
ibadah, tapi dalam masa yang sama merasakannya sebagai suatu beban dan
kesusahan. Lebih istimewa, perasaan gembira seorang muslimah kerana
dapat mengerjakan ibadah selepas tamat tempoh haid adalah suatu perasaan
yang Allah khususkan untuk kaum wanita sahaja. Maka bersyukurlah!
Bilakah haid menjadi masalah?
Haid
menjadi masalah apabila seorang muslimah merasakan telah hilangnya
peluang bagi mendapatkan ganjaran di bulan Ramadhan, kerana dia tidak
oleh berpuasa dan menunaikan solat tarawih. Sedangkan tanpa dia sedari
pintu-pintu syurga masih terbuka untuknya, dan para malaikat masih
memanggil-manggil pencari kebaikan. Dan sekiranya dia melakukan suatu
kebaikan ganjarannya seperti dia melakukan suatu kefardhuan. Seorang
muslimah yang haid sebenarnya masih mempunyai banyak peluang untuk
mendapatkan ganjaran dan kelebihan bulan Ramadhan dengan memperbanyakkan
zikir dan selawat ke atas Nabi S.A.W,mendengar bacaan Al-Qur’an,
membaca buku-buku yang bermanfaat dan sebagainya.
Tunaikanlah keperluan ukhtimu yang berpuasa!
Seorang
muslimah yang bijak, dia akan cuba sedaya upaya memanfaatkan setiap
detik ketika bulan Ramadhan walaupun ketika sedang haid. Mungkin kita
terhalang daripada berpuasa dan menunaikan solat tarawih, namun kita
masih boleh mendapat ganjaran dengan menyediakan makanan untuk orang
yang berpuasa, menunaikan keperluan ukhti yang keletihan disebabkan
puasa, menjaga anak-anak kecil ketika ibu mereka sedang solat di masjid,
bersedekah dan sebagainya.Semoga kita beroleh pahala sebagaimana mereka
yang berpuasa dan menunaikan solat.
Sabda Rasulullah S.A.W yang
bermaksud: “Barangsiapa yang memberi makan orang yang berpuasa, dia
akan mendapat pahala sepertinya, dan ianya tidak akan mengurangkan
pahala orang yang berpuasa sedikitpun”(Riwayat Tarmizi).
Selain
itu, gunakanlah tempoh haid ini untuk menyelesaikan kerja-kerja rumah
dan lain-lain urusan dunia anda, supaya kita dapat menyibukkan diri
dengan ibadah ketika waktu suci tanpa dirunsingkan dengan rumah yang
bersepah atau tugasan yang belum selesai.
Akhir
kata, sebelum datangnya tempoh haid anda, perbanyakkanlah amal ibadah,
semoga Allah tetap memberikan ganjaran bagi amalan yang kita terhalang
dari melakukannya disebabkan haid.
Sabda Rasulullah S.A.W yang
bermaksud: “Sekiranya seorang hamba muslim sakit atau bermusafir,
(tetap) ditulis baginya apa yang dahulunya dia lakukan ketika dia sihat
dan bermukim.”(Riwayat Al-Bukhari dan Al-Baihaqi).
Maka, barangsiapa
yang terpaksa meninggalkan suatu amal ibadah disebabkan halangan yang
syar’ie, Allah Yang Maha Pemurah akan tetap memberikan kita ganjaran
sepertimana kita melakukannya.
- AJK Biro Wanita ISMA-Mesir-
sumber: http://ismamesir.com/v1/index.php?option=com_content&view=article&id=182:berita-baik-buatmu-muslimah&catid=52:tazkirah&Itemid=141